Sunday, 14 August 2011

Kemana Hala Tuju Perbankan Syariah?

Terimakasih kepada saudara Yusoff yang membangkitkan persoalan tentang perbankan Syariah dalam artikel yang lalu. Saya juga bukan pakar dalam bidang kewangan Islam ini tetapi berdasarkan pengalaman berurusan dengan bank-bank syariah dan sedikit pengetahuan tentang kewangan barat maka inilah yang mencetuskan persoalan-persoalan tersebut. 

Tamaddun Islam telah berkembang dengan jayanya dibawah pemerintahan Khilafah tanpa sistem perbankan kapitalis selama lebih 1000 tahun. Perbankan Syariah yang didakwa sekarang ini hanyalah satu model dari sistem kewangan kapitalis. Mereka hanya menukar terma-terma dari interest kepada mark up padahal asas sistem kewangan masih lagi berdasarkan kapitalis. Time Value Money yang menjadi asas interest adalah tunggak kepada perbankan bagi menjana kewangan. Begitu juga dalam kontrak urus niaga masih lagi menggunakan tetapan LIBOR sebagai asas rujukan. 

Sistem kewangan dibawah sistem riba-kapitalis ini sebenarnya mengembalikan manusia ke zaman jahiliyyah sebelum kedatangan islam. Semasa zaman jahiliyyah masyarakat Arab menghadapi masalah sosio ekonomi yang sangat parah. Kehidupan orang ramai sangatlah sukar dan kebanyakannya hidup seperti hamba. Kekayaan hanyalah berada didalam kalangan segelintir ketua kabilah dan pedagang. Masyarakat menjadi melarat dan bergantung sepenuhnya kepada belas ehsan ketua kabilah. 

Cuba kita bandingkan dengan keadaan masyarakat kita sekarang. Apakah perubahan yang di bawa oleh perbankan Syariah? Apakah beban sesorang yang membuat pinjaman dengan perbankan konvensional adalah kurang berbanding dengan perbankan Syariah? Tidak, bahkan semakin bertambah. Inilah hakikat yang di alami oleh kebanyakan masyarakat Islam. Mereka seolah-olah diperhambakan oleh pihak bank. Kebanyakan dari kita tidak pernah melihat hasil usaha kita secara sepenuhnya dan dalam kebanyakan masa dalam defisit kerana sistem kewangan dan perjalanan pemerintahan seluruhnya tidak berlandaskan prinsip Syariah yang betul. Tidak kah ini kembali kepada zaman jahiliyyah? Tercatat dalam sejarah Khilafah Rashideen, kemakmuran yang dikecapi oleh masyarakat hingga tidak ada yang layak menerima zakat. 

Pemerintahan Islam yang sebenar mengembalikan harapan kepada masyarakat yang tertindas dan mereka boleh memulakan kehidupan baru berdasarkan prinsip Islam sebagaimana yang di bawa oleh Rasulullah s.a.w. yang menunjukkan jalan yang sebenar untuk menjalani kehidupan sosial dan cara berekonomi. 

Ekonomi adalah asas tuntutan Islam. Sebab itulah kewajipan Solat sentiasa di gandingkan dengan Zakat. Kalau tidak ada aktiviti ekonomi macam mana nak menunaikan zakat. Kalau hasil yang didapati tidak mencukupi untuk menyara hidup keluargapun, masih tidak dapat mengeluarkan zakat. Kalau tidak ada simpanan pun macam mana nak tunaikan zakat. Oleh itu pendapat bahawa tidak boleh menyimpan wang atau dinar, dirham adalah tidak betul kerana dengan adanya simpanan yang cukup haul dan sukatannya barulah boleh dikeluarkan zakat. 

Dalam pemerintahan Islam, urusan kewangan adalah tanggungjawab Khilafah bukan diserahkan kepada individu-individu tertentu. Baitulmal diwujudkan untuk menjaga kebajikan dibawah pemerintahan Khilafah. Tidak seperti Kapitalis, dimana golongan berada akan mengambil kesempatan dan keuntungan dari kesusahan masyarakat. Masyarakat Muslim di bawah Khilafah yakin sepenuhnya bahawa sedekah dan zakat lah yang menjana kekayaan bukan riba yang di gandakan. Inilah yang di amalkan semasa pemerintahan Khalifah Rashideen sehingga mereka menjadi kuasa besar dunia, lihatlah sendiri (seperti tercatat dalam sejarah) anugerah yang diberikan Allah apabila meninggalkan riba. 

Maka dalam negara Khilafah, bank syariah yang penuh dengan kesyubhatan ini tidaklah diperlukan lagi. Namun umat Islam tetap dibolehkan melakukan berbagai akad mudharabah,murabahah, dan musyarakah, dan yang sejenisnya, tanpa perlu oleh institusi bank syariah dalam bentuk yang ada sekarang ini. Akad-akad tersebut selanjutnya boleh saja dilaksanakan oleh wakalah-wakalah yang didirikan secara khusus untuk tujuan-tujuan perdagangan. Jadi, walaupun dalam Khilafah tak ada bank syariah, berbagai akad perdagangan seperti mudharabah, murabahah, dan musyarakah, dapat tetap dilaksanakan dalam bentuk yang sesuai hukum-hukum syarak. (Asy-Syarawi, Al-Masharif Al-Islamiyah, hal. 554). 

Semua aktiviti perbankan seperti (khidmat mashrifiyah) dalam berbagai bentuknya, seperti transfer, pinjam meminjam wang (qardh), dan penukaran mata wang akan diambil alih sepenuhnya oleh Khilafah. Karena ketika Khilafah berdiri nanti, Khilafah akan menyelenggarakan berbagai perkhidmatan umum, di antaranya : (1) perkhidmatan pos dan telekomunikasi, (2) perkhidmatan perbankan (tanpa riba), dan (3) perkhidmatan pengangkutan awam. (Zallum, Al-Amwal fi Daulah al-Khilafah, hal. 105). 

Bank-bank yang ada hanyalah cabang kepada Baitulmal. Perkhidmatan perbankan tersebut, seperti transfer, penukaran mata wang, pencetakan dinar dan dirham, dan sebagainya. (Taqiyuddin an-Nabhani, Muqaddimah ad-Dustur, Juz II, hal. 157) 

Jadi, dalam negara Khilafah nanti tidak diperlukan bank-bank syariah seperti yang ada sekarang. Karena berbagai akad perdagangan yang dilakukannya akan dilakukan dalam bentuk yang menurut hukum syarak.  Sedang perkhidmatan perbankan yang dilakukannya, akan diambil alih oleh bank negara yang menjadi bagian dari institusi Baitul Mal. Wallahu alam. 



No comments:

Post a Comment

Belajar Quran