Monday, 28 March 2011

ZAMAN BATU SATU PEMBOHONGAN SEJARAH: GOLONGAN BERIMAN TELAH MEMIMPIN KEHIDUPAN BERTAMADUN SEPANJANG SEJARAH

Sepanjang sejarah, Allah telah mengutuskan pesuruh-Nya untuk mengajak manusia ke jalan kebenaran. Sesetengah daripada mereka patuh kepada utusan-utusan tersebut dan percaya akan kewujudan dan keesaan Allah, manakala sebahagian lagi tetap menolaknya. Sejak kewujudan manusia, mereka telah belajar percaya terhadap kesatuan dan keesaan Allah serta nilai moral agama sebenar melalui wahyu Ilahi. Oleh itu, dakwaan evolusionis bahawa masyarakat sebelum ini tidak percaya terhadap kesatuan dan keesaan Allah adalah salah. 

Al-Quran mendedahkan bagaimana Allah telah menghantar utusan sepanjang sejarah untuk mengajak manusia percaya dan hidup dengan nilai-nilai moral:
Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab Neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izinNya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayatNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturanNya). (Surah al-Baqarah, ayat 213)
Ayat lain yang membuktikan bahawa utusan telah dihantar kepada setiap bangsa untuk memberi amaran kepada mereka, mengingatkan mereka tentang kewujudan dan keesaan Allah SWT, serta mengajak mereka untuk membuat kebaikan:
Sesungguhnya Kami mengutusmu dengan (agama) yang benar, sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar) dan tidak ada, sesuatu umat pun melainkan telah ada dalam kalangannya dahulu seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran. (Surah al-Faatir, ayat 24)
Walaupun Allah telah mengutus pesuruh-Nya dan kitab suci, sesetengah manusia masih lagi tidak mengerti dan membelakangkan kebaikan agama yang sebenar serta mengamalkan kepercayaan karut. Ada di antara mereka yang mengembangkan kepercayaan pagan yang menyalahi tatasusila dengan menyembah tanah, batu, kayu, Bulan atau Matahari, bahkan juga memuja semangat jahat. Begitu juga dengan dunia hari ini, bersama dengan masyarakat yang beriman kepada agama yang benar, terdapat juga golongan yang menyembah api, Bulan, Matahari serta berhala yang diperbuat daripada kayu. Walaupun sedar tentang kewujudan dan keesaan-Nya, sesetengah daripada mereka masih lagi menyekutukankan Allah.

Allah menciptakan manusia daripada tiada serta memberinya rahmat dan dugaan sepanjang hidupnya di dunia. Setiap rahmat yang dilimpahkan juga merupakan ujian. Mereka yang tahu bahawa peradaban, teknologi dan sumber yang dimiliki sebenarnya adalah anugerah Ilahi akan berterima kasih kepada Allah yang Maha Pemurah:
Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras. (Surah Ibrahim, ayat 7)
Allah membenarkan hamba-Nya yang beriman untuk menikmati kehidupan yang menggembirakan di dunia dan juga di akhirat. Ini telah dijelaskan dalam Al-Quran:
Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan. (Surah an-Nahl, ayat 97)
Sebagai manifestasi daripada ayat tersebut, Muslim sepanjang sejarah telah memiliki kaedah terbaik di zaman mereka dan memimpin ke arah kehidupan yang menyenangkan. Secara semulajadi, sebahagian mereka telah diuji dengan pelbagai kesusahan dan masalah, tetapi ini tidak bererti mereka hidup serba kepayahan, keadaan primitif, dan tidak bertamadun. Tidak kira betapa kaya, selesa dan maju peradabannya, mereka yang tetap ingkar dan hidup tanpa nilai-nilai moral yang baik serta membawa kerosakan di muka bumi, akan sentiasa berakhir dengan kekecewaan. Tambahan pula, ramai di antara mereka yang mungkin menikmati teknologi yang lebih maju berbanding dengan yang dimiliki masyarakat moden hari ini. Ini dijelaskan dalam Al-Quran:
Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, serta memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu lebih kuat daripada mereka sendiri dan orang-orang itu telah meneroka bumi serta memakmurkannya lebih daripada kemakmuran yang dilakukan oleh mereka dan orang-orang itu juga telah didatangi oleh Rasul-rasulnya dengan membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (lalu mereka mendustakannya dan kesudahannya mereka dibinasakan). Dengan yang demikian, maka Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri. (Surah ar-Rum, ayat 9)
(Nota ini di adaptasikan dari buku Harun Yahya; Zaman Batu Satu Pembohongan sejarah)






No comments:

Post a Comment

Belajar Quran