Sebelum kita bercita-cita menjadi pengikut atau tentera al-Mahdi, kita lihat dulu tentang kehebatan Sultan Muhammad Al-Fatih yang berjaya menawan kota Constantinople. apakah kita mempunyai sifat-sifat tentera al-Fatih? Dimana pengikut al-Mahdi nanti pasti mempunyai amalan yang tidak kurang dari amalan tentera al-Fatih.
Ini merupakan kandungan khutbah dari sebuah masjid di Shah Alam..
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ
رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ
عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا
اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ
وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ
وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا
عِبَادَ اللهِ اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ
تُقَاتِهِ وَلاتمَوْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah
dengan sebenar-benar taqwa. Dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan
Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan
juga sidang jumaat sekalian agar kita
sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah swt dengan melakukan segala
suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Khalifah Umar al Khattab pernah
mengibaratkan taqwa seperti seseorang yang berjalan di atas jalan yang berduri.
Seseorang itu akan berhati-hati untuk mengatur setiap langkah agar tidak
terpijak duri. Begitulah juga kita sepatutnya berhati-hati dalam mengatur aktiviti seharian hidup kita agar
kita sentiasa mengerjakan amal soleh dan tidak melakukan perkara-perkara
maksiat. Hitunglah diri kita setiap masa
samada semakin hampir kepada Allah atau sebaliknya. Adakah amalan soleh kita
semakin meningkat atau menurun. Sayidina Umar al Khattab sentiasa
berpesan kepada tenteranya yang keluar berjihad “ aku mengingatkan kamu dan
orang-orang bersama kamu supaya meningkatkan ketakwaan kepada Allah dalam
setiap keadaan. Takut kepada Allah adalah sebaik-baik persiapan dalam
menghadapi musuh dan strategi terhebat dalam peperangan.”
Sidang jumat yang di rahmati Allah swt
Sekiranya kita menyusuri sejarah kegemilangan
Islam kita akan dapati ramai raja-raja yang soleh dan berjiwa rakyat seperti al
Najashi di Ethopia, Khalifah Umar Abdul Aziz, Salahuddin al Ayyubi, Sultan
Murad II di Turki, Aurangzeb di India dan juga beberapa sultan di alam
Nusantara. Namun, sejarah juga
memaparkan golongan bangsawan yang bersultan di mata, bertuhan di hati seperti
Firaun, Namrud dan raja-raja pada abad ke-20 seperti Raja Farouk di Mesir dan
Shah Iran di Iran.
Pada zaman kegemilangan Islam,
raja-raja sering di dampingi oleh ulama-ulama yang ikhlas. Ulama-ulama sering
memberi peringatan, nasihat dan amaran kepada raja-raja untuk melaksanakan
suruhan Allah swt. Salah seorang raja yang sentiasa mendampingi ulama dan
sering mendapatkan pandangan ulama ialah Sultan Muhammmad al Fatih, sultan yang
ke-7 dalam pemerintahan khalifah Uthmaniyyah. Sultan Muhammad al Fatih juga adalah pembuka
kota Constantinople atau pun Istanbul. Pembukaan kota Constantinople
membenarkan sabda Rasulullah saw dalam hadisnya yang bermaksud:
“ Constantinople pasti akan
ditawa. Sebaik-baik pemerintah adalah pemerintah penaklukan tersebut dan sebaik-baik tentera adalah
tentera tersebut. (Riwayat Ahmad)
Hadis yang di ucapkan oleh
Rasulullah saw ketika sedang menggali parit dalam peperangan Khandak ini telah
menimbulkan keinginan dan keghairahan para khalifah dan pemimpin Islam sebelum
Muhammad al Fatih lagi. Mereka telah berusaha dan berjuang untuk menawan kota
Constantinople. Usaha pertama telah di lancarkan pada 44Hijrah iaitu di zaman
Mu’awiyah. Tetapi usaha tersebut di bawah pimpinan Yazid bin Mu’awiyah menemui
kegagalan. Seorang sahabat nabi yang
bernama Abu Ayub al Ansari telah menyertai pasukan Yazid, walaupun usianya
sudah menjangkau 80 tahun kerana ingin berada di dalam pasukan tentera yang
terbaik. Beliau syahid di dalam peperangan dan berwasiat agar jasadnya di kuburkan
di bawah kubu-kubu Constantinople. Apabila ditanya kenapa beliau ingin di
kuburkan di situ maka beliau menjawab ”kerana aku ingin mendengar hentakan tapak-tapak kaki kuda dari
pasukan tentera yang terbaik semasa mereka membebaskan Constantinople.” Beberapa
kempen lagi untuk menawan Constantinople di zaman Umayyah menemui kegagalan. Di
zaman pemerintahan kerajaan Abbasiyah, beberapa usaha di teruskan tetapi masih
menemui kegagalan termasuk usaha di zaman Khalifah Harun ar Rashid. Ramai lagi
raja-raja dan pemimpin Islam berlumba-lumba untuk menawan kota Constantinople
untuk menjadi sebahagian daripada tentera terbaik. Tetapi kira-kira 800 tahun
kemudian pada 1453M, Muhammad al Fatih telah membenarkan dan merealisasikan hadis
Rasulullah tersebut.
Sidang jumaat yang di rahmati
Allah
Apakah kehebatan Sultan
Muhammad al Fatih dan tentera-tenteranya sehingga dirujuk sebagai sebaik-baik
raja dan sebaik-baik tentera oleh Rasulullah saw? Apakah ciri-ciri dan
sifat-sifat istimewa yang ada pada Muhammad al Fatih? Mengapa kejayaan ditakdirkan berlaku di tangan
Muhammad al Fatih walaupun sudah ada percubaan yang pernah dilakukan oleh para
sahabat, tabiin dan tabi’ tabiin? Kemunculan Muhammad al Fatih dan kejayaan
menawan kota Constantinople bukan satu kebetulan. Ia di rancang dan di
programkan oleh pemimpin sebelumnya lagi.
Sultan Murad II, iaitu ayah
kepada Muhammad al Fatih sangat menitikberatkan didikan agama terhadap anaknya.
Ayahnya telah memanggil beberapa ulama terkenal di zamannya seperti Sheikh
Shamsuddin al Wali dan Sheikh Ahmad Ismail al Kurani untuk mentarbiyyah anaknya. Muhammad al Fatih telah ditarbiyyah
dengan jiwa jihad dan sifat tawaduk sejak kecil lagi. Ayahnya begitu perihatin
dalam pembentukan keperibadian Muhammad al Fatih sehinggakan beliau memilih
sendiri gadis yang hendak dijodohkan dengan anaknya. Beliau sedar bahawa
seorang pemimpin yang baik mesti mempunyai isteri yang baik juga.
Di samping ilmu agama,
Muhammad al Fatih juga di ajar ilmu peperangan, pentadbiran dan pemerintahan.
Beberapa kali beliau diberi latihan praktikal dengan memangku jawatan ayahnya
walaupun di usia yang masih muda. Muhammad al Fatih juga mampu menguasai tujuh
bahasa iaitu Turki, Arab, Greek, Latin, Serbia, Parsi dan Hebrew. Dengan menguasai
tujuh bahasa, Muhammad al Fatih mampu mengkaji dengan lebih teliti
kelemahan-kelemahan musuh-musuhnya dan dapat berkomunikasi dengan baik dengan bangsa-bangsa tersebut.
Muhammad al Fatih sangat
menjaga diri dan pegawai-pegawainya daripada melanggar hukum Allah. Oleh sebab
itu, pegawai-pegawai, pentadbir dan panglima-panglima tentera beliau terdiri
daripada orang-orang-orang yang mematuhi
syariat. Sultan Muhammad al Fatih pernah berpesan bahawa ulama adalah nadi
kekuatan yang harus ada dalam negara, maka hormatilah mereka. Jadi tidak
hairanlah sekiranya Muhammad al Fatih di kelilingi oleh para ulama yang
sentiasa menasihati beliau tentang permasalahan negara.
Sultan Muhammad al Fatih bukan
sahaja menjaga amalan-amalan yang wajib, tetapi konsisten dalam melakukan
amalan-amalan yang sunat. Peristiwa pemilihan imam solat jumaat pada hari
jumaat pertama selepas kota Constantinople ditawan mendedahkan sesuatu yang
menarik. Muhammad al Fatih dan tenteranya masuk ke Hagia Sophia, sebuah gereja
yang ditukar menjadi masjid untuk mendirikan solat jumaat. Pada mulanya, Sultan
Muhammad al Fatih mencadangkan gurunya; Sheikh Shamsuddin sebagai imam. Namun,
gurunya menolak cadangan tersebut. Untuk mencari siapa yang layak, baginda
telah memerintahkan seluruh pegawai dan tenteranya berdiri.
“Siapa di antara kamu
yang pernah meninggalkan solat fardhu
sejak baligh walaupun sekali, sila duduk” kata Sultan Muhammad al Fatih. Tiada
seorang pun yang duduk.
“Siapa antara kita yang pernah
meninggalkan solat sunat rawatib sejak baligh walaupun sekali, sila duduk” Ada
sebahagian daripada tentera yang duduk.
“Siapa di antara kita yang
pernah meninggalkan solat sunnat tahajud
sejak baligh walaupun satu malam, sila duduk” Kini, semua tentera duduk kecuali
Sultan Muhammad al Fatih. Inilah peristiwa yang berlaku ketika pemilihan imam
untuk solat jumaat yang pertama di masjid Hagia Sophia. Peristiwa ini
menunjukkan betapa istiqamahnya Sultan
Muhammad al Fatih dalam beribadat kepada Allah swt dan terserlah bahawa baginda
sendiri adalah orang yang paling layak menjadi imam.
Sidang jumaat yang di rahmati
Allah
Sultan Muhammad al Fatih dan
tenteranya menjadi raja dan tentera yang baik bukan kerana ketaqwaan mereka
sahaja. Mereka juga mempunyai kekuatan,
kebijaksanaan dan keberanian. Untuk menembusi pertahanan kota Constantinople
yang kebal di segenap penjuru perancangan yang rapi dan strategi serangan yang
kreatif sangat diperlukan sesuai dengan firman Allah swt.
وَأَعِدُّوا لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن
قُوَّةٍ وَمِن رِّبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّـهِ
وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِن دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّـهُ
يَعْلَمُهُمْ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فِي سَبِيلِ
اللَّـهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لَا تُظْلَمُونَ ﴿٦٠﴾
“Dan bersiap
sedialah kamu dengan kekuatan dari tentera berkuda untuk menggerunkan musuh
Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak
mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan
pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan
dianiaya.” ( al Anfal:60)
Selepas menaiki takhta,
Muhammad al Fatih mengkaji pelan kota Constantinople untuk mengenal pasti
kelemahannya. Bentuk muka bumi, keadaan topografi, musim dan cuaca diambil kira
dalam menentukan permulaan serangan dan kepungan. Beliau juga mengkaji
sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu serta berbincang dengan
panglima-panglima perangnya tentang strategi yang sesuai untuk diguna pakai.
Beliau melantik jurutera yang terbaik untuk membina peralatan perang termoden
seperti meriam besar yang boleh menembak peluru seberat 300kg melebihi 1km.
Sayidina Ali pernah berpesan bahawa “kebenaran
yang tidak tersusun akan dikalahkan oleh kebatilan yang tersusun.” Mengambil iktibar dari pesanan ini, Muhammad
al Fatih melakukan beberapa langkah strategik
lagi dalam persediaan untuk menawan Constantinople.
Sultan Muhammad al Fatih
mengambil langkah memencilkan kerajaan Rom Byzantin dengan mengikat
perjanjian-perjanjian damai dengan kerajaan-kerajaan di sekitar wilayahnya
seperti Serbia dan Hungary. Benteng-benteng pertahanan di bina di tempat-tempat
yang strategik untuk mengawal laluan kapal di Selat Bosphorus sekaligus
mengawal bantuan dari luar untuk kerajaan Byzantin. Langkah ini memberi kesan yang lebih ke atas kepungan yang akan dilancarkan
kemudian.
Pada 6 April 1453 Sultan
Muhammad al Fatih mengetuai pasukan tentera yang terlatih seramai 250,000 orang
untuk mengepung kota Constantinople. Tentera ini terdiri dari orang-orang yang
soleh, sangat menjaga solat mereka, berani dan bersedia untuk syahid. Muhammad
al Fatih juga membawa bersama tenteranya para ulama untuk memotivasikan barisan
tenteranya dengan ayat-ayat al Quran dan hadith-hadith Rasulullah yang menceritakan
tentang kemuliaan orang-orang yang gugur di jalan Allah. Setelah segala
persiapan siap diatur, Sultan Muhammad al Fatih menghantar utusan kepada Raja
Rom Byzantin meminta beliau menyerah kalah. Keengganan Raja Rom mengakibatkan
kota Constantinople dikepung dan serangan dimulakan.
Pope di Rom menghantar bantuan
lima buah armada yang dipenuhi dengan senjata dan tentera. Perairan Teluk
Golden Horn direntang dengan rantai besi oleh tentera Rom untuk menghalang
kemaraan kapal-kapal tentera Muhammad al Fatih. Kapal-kapal Muhammad al Fatih
tidak dapat meneruskan perjalanan menuju ke bahagian belakang benteng
pertahanan kota Constantinople. Mereka di serang dengan hebat dan terpaksa
berpatah balik.
Sultan Muhammad al Fatih diberikan ilham yang
luar biasa oleh Allah swt untuk mengatasi halangan rantai besi ini. Muhammad al
Fatih mendapat idea untuk memindahkan kapal-kapal perangnya melalui jalan
darat. Beliau telah memanggil tenteranya
dan mengarahkan mereka membawa kapal-kapal merentasi bukit pada waktu malam dan
dilucurkan ke perairan di belakang kubu pertahanan kota Constantinople. Pada
malam tersebut penduduk Constantinople dikejutkan dengan gema takbir dan nasyid
serta lagu-lagu iman yang bersahutan dari tentera Muhammad al Fatih. Dengan
semangat dan kekuatan yang luar biasa tentera Muhammad al Fatih berjaya
mengangkut 70 buah kapal merentasi bukit sejauh 5km dalam satu malam sahaja. Apa
yang berlaku ini menunjukkan kebijaksanaan sultan, kesungguhan dan kegigihan
tentera-tenteranya, dan juga kehebatan mutu kejuruteraan kerajaan
Uthmani. Kejayaan ini adalah kejayaan yang hebat dan di luar bayangan
manusia hingga ke hari ini. Semuanya ini adalah anugerah daripada Allah swt
kepada hambanya yang bertakwa, yang mengharapkan pertolongan Allah semata-mata
setelah segala perancangan, usaha dan tenaga di gembeling dan di curahkan.
Setelah pertempuran berlarutan
selama 53hari, pada 29Mei 1453M kota Constantinople jatuh ke tangan orang
Islam. Di atas kemenangan dan kejayaan menawan kota Constantinople inilah Sultan
Muhammad di beri gelaran al Fatih yang membawa maksud pemenang atau pembuka
yang berjaya membebaskan Constantinople dari pemerintahan Rom. Constantinople
dijadikan ibukota yang baru Empayar Uthmani. Beliau telah menukar nama
Constantinople kepada Islam Bol (atau Istanbul sekarang ini) yang bermaksud kota Islam.
Sultan Muhammad al Fatih
mencapai kemenangan bukan kerana kepandaian dan kepintaran sahaja. Beliau
dikurniakan kemenangan apabila tenteranya berjaya meninggalkan dosa-dosa.
Beliau dan tenteranya berjaya memenuhi
syarat-syarat untuk mendapat pertolongan dari Allah swt. Allah swt berjanji
akan memberi pertolongan kepada manusia yang bersungguh-sungguh dan
beristiqamah menegakkan syariat Allah. Allah berfirman di dalam surah al Haj
ayat 40:
الَّذِينَ أُخْرِجُوا مِن دِيَارِهِم
بِغَيْرِ حَقٍّ إِلَّا أَن يَقُولُوا رَبُّنَا اللَّـهُ ۗ وَلَوْلَا دَفْعُ
اللَّـهِ النَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍ لَّهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ
وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّـهِ كَثِيرًا ۗ وَلَيَنصُرَنَّ
اللَّـهُ مَن يَنصُرُهُ ۗ إِنَّ اللَّـهَ
لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ﴿٤٠﴾
Iaitu mereka yang diusir dari
kampung halaman mereka dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, kecuali
kerana mereka berkata “ Tuhan kami ialah Allah.” Dan kalaulah Allah tidak
mendorong setengah manusia menentang setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah
tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja, dan tempat-tempat ibadat dan juga
masjid-masjid yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang
menolong agamanya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Kuasa.
Sidang jumaat yang di rahmati
Allah swt
Inilah dia tokoh yang
seharusnya menjadi idola kepada anak muda zaman sekarang kerana Muhammad al
Fatih baru berusia 25tahun ketika beliau mengetuai tentera untuk menawan
Constantinople. Inilah dia tokoh yang sepatutnya berada di dalam silibus pendidikan
sejarah di sekolah-sekolah di negara kita.
Sejarah telah memberitahu kita
bahawa Salahuddin al Ayyubi telah membebaskan Baitul Maqdis dari tentera
Kristian Rom pada 27 Rejab 1187M dan beliau berbangsa Kurdis. Muhammad al Fatih telah membebaskan kota
Constantinople dari tentera Kristian Rom pada 29 Mei 1453M dan beliau berbangsa
Turki.Tidak mustahil pada suatu hari nanti seorang pemimpin dari kalangan
bangsa Melayu Islam yang akan membebaskan Palestin untuk kali ketiga. Peristiwa
ini akan menjadi kenyataan sekiranya bangsa Melayu Islam mempunyai ciri-ciri
dan kualiti yang sama dengan tentera Muhammad al Fatih ataupun tentera Salahuddin.
Tentera Melayu Islam yang beriman dan bertaqwa yang mendaulatkan al Quran dan
sunnah di dalam kehidupan dan perjuangan mereka semata-mata untuk mencari
keredhaan Allah swt. Salahuddin al Ayyubi menyatukan bangsa-bangsa dan
kumpulan-kumpulan yang terpisah dari Mesir, Iraq hingga ke negeri-negeri di
Syam di bawah payung Islam sebelum memulakan langkah untuk pembebasan Baitul
Maqdis. Muhammad al Fatih mengemaskini pentadbiran dalam negeri, menyelesaikan
masalah dalaman, memeterai perjanjian dengan negara-negara sekitar sebelum
melancarkan serangan ke atas Constantinople. Untuk mengikuti jejak langkah
mereka, bangsa Melayu Islam harus bersatu dan menyelesaikan masalah dalaman di negeri-negeri
di Nusantara serta menjadi bangsa yang di segani sebelum bercita-cita melangkah ke peringkat
antarabangsa. Kita mesti kembalikan izzah dan jatidiri bangsa Melayu dengan
kembali kepada ajaran Islam sepenuhnya. Kita perlu ingat bahawa satu masa dahulu
iaitu di waktu pemerintahan kesultanan
Melayu Melaka bangsa Melayu adalah satu bangsa yang di segani dan dihormati
oleh bangsa Eropah di Barat dan Cina di
Timor. Dan tidak menjadi mustahil
sejarah akan berulang kembali.
This comment has been removed by the author.
ReplyDelete