Logo perisikan MI6 |
Allah swt telah memberi peringatan terhadap orang-orang beriman bahawa terdapatnya masjid yang dibina oleh musuh-musuh Islam bertujuan untuk menghancurkan Islam dari dalam;
Dan (di antara orang-orang munafik juga ialah) orang-orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang-orang Islam), dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman, dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sebelum itu. Dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata:" Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata ". Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta.(At-Taubah 9:107)
Pendedahan oleh akhbar The Sunday Telegraph bahawa perisikan MI6 British dan perisikan Gaddafi Libya berkomplot mendirikan masjid radikal bagi memerangkap umat Islam sebenarnya telah lama di beri amaran oleh Allah swt di dalam al-Quran. Mereka menjadikan masjid tersebut untuk menyelinap di dalam gerakan Islam dan menjalankan rancangan jahat mereka.
Pihak barat yang diterajui oleh British dan Amerika mengadakan rancangan jahat mereka dengan mensasarkan negara-negara Islam tertentu dengan menuduh negara tersebut merancang membina senjata nuklear dan kemudiannya memberi tekanan antarabangsa. Tekanan tersebut akan di tarik balik sekiranya negara tersebut tunduk mengikut perancangan yang mereka jalankan. Beginilah yang berlaku di Iraq, Libya dan Iran.
British berjaya mempengaruhi Gaddafi untuk melupakan hasrat memperolehi senjata nuklear dengan mengadakan perjanjian dalam tahun 2004; yang dikenali "deal in the desert". Perjanjian itu juga menamatkan pengasingan dan sekatan PBB terhadap Libya.
Hasil perjanjian tersebut, British telah mengadakan komplot dengan Libya bagi melatih ejen untuk menyelinap kedalam kononnya rangkaian al-Qaeda. Dokumen yang diperolehi oleh The Sunday Telegraph mendedahkan dengan terperinci perancangan pengintipan, pengambilan ejen dan pelan operasi. Dokumen yang dihantar oleh ibu pejabat MI6 di London kepada ketua perisikan Libya, Moussa Koussa di jumpai di Tripoli selepas kerajaan Gaddafi di tumbangkan.
Hanya tempat dan masa adalah berbeza, tetapi komplot yang dijalankan oleh musuh-musuh Islam terdiri dari Yahudi, Nasrani dan golongan munafik adalah sama. Marilah kita meneliti komplot yang dijalankan oleh puak nasrani, yahudi dan munafik di zaman Rasulullah saw seperti dijelaskan oleh ulamak dalam tafsir ayat tersebut.
Tapak masjid dirar yang dimusnahkan oleh Rasulullah saw; bersebelahan masjid Quba' ditandai dengan batu besar |
Sebelum datangnya Nabi SAW ke Madinah ada seorang tokoh Khazraj bernama Abu Amir Ar-Rahib yang telah memeluk Nasrani pada zaman jahiliyah dan mempelajari selok belok agama berkenaan sehingga dia digelar ar-Rahib (pendeta).
Setelah hijrahnya Rasulullah SAW dan kaum Muhajirin, kemudian kemenangan umat Islam dalam Perang Badar, Abu Amir merasa kecewa. Dia merasa sakit hati lalu keluar dari Madinah menuju ke Makkah menghasut kaum musyrikin agar menuntut bela atas kekalahan mereka dalam Perang Badar.
Dalam Perang Uhud, Abu Amir menyertai pasukan musyrikin Makkah. Walaupun umat Islam kehilangan 70 pejuang yang mati syahid, umat Islam hakikatnya bertambah kuat. Kesilapan yang berlaku dalam Perang Uhud menjadi pengajaran buat semua.
Akhirnya Abu Amir lari ke Damsyik menghadap Heraclius Kaisar Romawi meminta bantuan bagi menghancurkan kekuatan Islam. Raja Rom memberi harapan kepadanya bahawa Madinah pasti diserang. Lalu Abu Amir berutus surat kepada kaumnya daripada kalangan Ansar yang berjiwa munafik tentang khabar semasa.
Maka atas saranan Heraclius Kaisar Romawi maka disepakatilah untuk membangun tempat untuk memantau jamaah kaum muslimin, dan supaya tidak mencurigakan bagi pergerakan mereka, maka dibangunkanlah sebuah masjid untuk memantau kegiatan mereka.
Beberapa ahli tafsir menjelaskan seramai 12 orang munafik yang menyertai pembinaan masjid dhirar ini. Setelah siap, mereka mengundang Rasulullah SAW untuk hadir bersolat di masjid ini, sebagai tanda restu baginda. Baginda SAW ketika itu menolak kerana dalam perjalanan menuju Perang Tabuk.
Dalam perjalanan pulang, baginda diajak sekali lagi untuk ke masjid berkenaan. Ketika itulah turun wahyu yang melarang baginda dan rombongannya singgah dan bersolat di dalamnya.
Menurut al-Quran surah at-Taubah ayat 107 (yang beriringan dengan ayat berkenaan Masjid Quba’), tujuan pembinaan masjid dhirar ada empat iaitu : membahayakan keselamatan orang Islam, mengukuhkan keingkaran puak munafik, memecahkan perpaduan orang Islam, dan sebagai tempat musuh mengintip umat Islam.
Firman Allah SWT :
Dan (di antara orang-orang munafik juga ialah) orang-orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang-orang Islam), dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman, dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sebelum itu. Dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata:" Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata ". Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta.(At-Taubah 9:107)
Sudah tentu sesudah itu Rasulullah SAW membatalkan hasrat menuju ke masjid berkenaan. Bahkan baginda memerintahkan agar umat Islam membakar masjid berkenaan. Orang yang diarah baginda ialah Malik bin Dukhsyum dan Ma’an bin Adi atau Ashim bin Adi.
Mereka yang menerima arahan tersebut berangkat ke Quba’ dan setiba di sana mereka mengumpul daun-daun dan pelepah kurma yang sudah kering sebagai bahan bakar bangunan masjid berkenaan. Mereka membakarnya pada waktu antara maghrib dan isyak.
Rujukan;